Saturday, September 20, 2008

Keluar BN kerana tidak puas hati?

KOTA KINABALU 19 Sept. – Apakah sebenarnya yang menyebabkan pengumuman Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, pada 17 September lepas yang memutuskan parti itu keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN)?

Meskipun hakikat sebenarnya kekal misteri, Timbalan Presiden, Datuk Raymond Tan Shu Kiah – yang tidak bersetuju dengan keputusan meninggalkan BN – telah mendedahkan bahawa Teck Lee sebenarnya tidak berpuas hati dengan ketiadaan tambahan kerusi diberi kepada SAPP pada pilihan raya umum lepas.

Walaupun, Majlis Tertinggi SAPP telah menyatakan bahawa kehilangan semangat dalam BN dalam kalangan parti gabungan itu sebagai alasan utama parti itu keluar BN, ia sebenarnya samar-samar apabila parti itu cuba mengatur strategi politiknya.

Mereka menyatakan alasan tindakan mereka bahawa Sabah telah diperdayakan selama ini dan membangkitkan deklarasi lapan perkara bagi mencapai apa yang mereka mahukan.

Perkara berkenaan termasuklah tadbir urus yang baik dan politik bukan perkauman, autonomi bagi Sabah, 20 peratus royalti minyak, memulangkan semula Labuan, mengkaji semula undang-undang tidak adil dan jabatan yang menjejaskan, mengadakan perkhidmatan awam Persekutuan mengikut rentak Borneo, menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin dan menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi dan sosial.

Namun, pendedahan Shu Kiah itu adalah suatu pembongkaran “rahsia politik” di sebalik tindakan parti itu keluar daripada gabungan parti BN. Ia semakin mengelirukan apabila Teck Lee dilaporkan mengisytiharkan hasratnya untuk bertanding atas tiket BN bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu sebelum pengumuman senarai calon Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas.

Shu Kiah dipetik sebagai berkata, pada Rabu lepas bahawa “permainan politik Teck Lee adalah untuk mendapatkan kerusi tambahan bagi SAPP” tetapi ia ti- dak menjadi kenyataan.

“Saya percaya ini mungkin menjadi sebab utama yang membawa kepada perasaan tidak puas hati dan kekecewaan terhadap kepimpinan BN. Saya rasa perkara lain hanya menjadi faktor penyumbang yang menyebabkan tindakan terburu-buru SAPP untuk keluar daripada gabungan BN,” kata seorang penganalisis politik veteran, Iskandar Martin Gayo kepada Bernama di sini.

Iskandar berkata, sebagai parti komponen BN, SAPP sepatutnya menyelesaikan isu pengagihan kerusi dengan anggota BN secara musyawarah setiakawan. BERNAMA

No comments: