Saturday, September 20, 2008

Dijangka tubuh parti baru

KOTA KINABALU 19 Sept. – Bekas Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan beberapa pemimpin kanan parti itu termasuk bekas Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Yun Fah dijangka menubuhkan sebuah parti politik baru tidak lama lagi.

Bagaimanapun penubuhan par- ti baru yang pro Barisan Nasional (BN) itu masih dalam peringkat perbincangan.

Satu pertemuan sulit membabitkan beberapa pemimpin terbabit dikatakan berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka, di sini, lewat malam tadi bagi membincangkan perkara tersebut.

Utusan Malaysia difahamkan, kata putus mengenai penubuhan parti baru itu, khususnya yang berkaitan dengan barisan kepimpinan dan nama parti yang sesuai masih belum ditetapkan.

Menurut sumber, jika rancangan menubuhkan parti baru itu tidak menjadi kenyataan, satu lagi pilihan mereka ialah mengambil alih Parti Demokratik Setia Sehati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah (Setia).

Kata sumber itu lagi, jika usaha mengambil alih Setia menjadi kenyataan, parti tersebut akan dibawa masuk ke dalam BN.

“Mereka belum putuskan apa- apa lagi dan ingin membawa kedua-dua rancangan itu ke peringkat akar umbi bagi mendapatkan maklum balas dan pendapat mengenainya,” katanya.

Kelmarin, SAPP mengumumkan keluar BN tetapi beberapa pemimpin kanan yang tidak bersetuju dengan keputusan itu mengambil keputusan keluar parti.

Berikutan itu, spekulasi mengenai usaha bekas pemimpin kanan SAPP iaitu Raymond, Ketua Pemuda, Au Kam Wah dan Naib Presiden, Jimmy Wong, akan menubuh parti baru atau menyertai komponen BN lain mula diperkatakan.

Sementara Yun Fah yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, sebelum ini dikatakan akan menyertai Parti Kuasa Rakyat (PPP) setelah keluar daripada LDP, selepas pilihan raya umum lalu. Utusan Malaysia

No comments: