Tuesday, September 30, 2008

Sedekah seks: Jangan samakan yang baik dan mungkar

KUALA TERENGGANU 29 Sept. - Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya menegur pelbagai pihak di negara ini agar tidak menyamakan perkataan yang berunsurkan kebaikan dengan perbuatan mungkar termasuk perkataan 'sedekah seks' bagi memastikan kemurnian beragama Islam terus terpelihara.
Beliau berpendapat, sedekah adalah amalan atau perbuatan yang amat digalakkan oleh Islam dan sesiapa yang melakukannya akan mendapat pahala daripada Allah.
Beliau yang juga bekas Mufti Negeri Terengganu mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Zulkifli Ibrahim yang mempertahankan kenyataan Anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan bahawa habuan seks sama seperti menerima sedekah sebagai sekadar satu 'kesilapan bahasa yang tidak disengajakan.'
Baru-baru ini, Zul Hassan dilaporkan mengeluarkan kenyataannya bahawa 'seks seperti menerima sedekah' dan mendakwa dia melakukannya dengan seorang wanita China disebabkan diperangkap Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Mengulas lanjut, Ismail tidak menolak kemungkinan terdapat pihak tertentu yang ingin menyamakan perkataan 'pemberian' dengan sedekah tanpa menyedari perkataan tersebut boleh mendatangkan kesan yang tidak baik apabila ia digabungkan dengan perkataan yang buruk.
Lantaran itu, katanya lagi, berhati-hatilah apabila menggunakan sebarang perkataan dalam kehidupan seharian.

Komen daddy-wafiah:
"Renung-renungkan, Lu fikirlah sendiri...sebelum bercakap,fikir dulu kesannya...

Monday, September 29, 2008

60 peratus ahli mahu Gerakan keluar BN

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Sentimen di kalangan akar umbi ahli Gerakan menunjukkan kira-kira 60 peratus daripada mereka mahu parti itu keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN).
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, walaupun majoriti ahli parti berkongsi sentimen seperti itu, namun ia bukan satu-satunya faktor yang dipertimbangkan pucuk pimpinan dalam menentukan perkara tersebut.
Kata beliau, sebaliknya analisis mendalam akan terus dijalankan dengan setiap sesuatu perkembangan politik semasa perlu diambil kira termasuk perkembangan tuntutan Gerakan yang dibuat sebelum ini.
''Sentimen memang penting dinilai namun dalam masa sama keputusan tidak boleh diambil berdasarkan sentimen sahaja kerana sentimen wujud disebabkan rasa marah yang kemudiannya ia boleh berubah bila ia mula sejuk.
''Jadi kaedah terbaik dalam menentukan soal masa depan Gerakan dalam BN ialah dengan menggunakan kedua-dua cara iaitu melalui fikiran dan perasaan,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gerakan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Tidak lama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Gerakan secara terbuka mengakui parti itu sedang mengumpul maklum balas ahli berhubung kedudukan mereka dalam BN.
Sementara itu, Tsu Koon berkata, dalam soal itu banyak persoalan penting harus difikirkan oleh pemimpin dan ahli Gerakan terutamanya kemampuan parti untuk terus kekal relevan dalam arena politik negara.
''Sekarang ada tiga pilihan iaitu kekal dalam BN, menyertai pakatan pembangkang atau pilihan ketiga menjadikan Gerakan parti yang bebas tanpa terlibat dalam mana-mana gabungan parti politik.
''Sebagai contoh kalau pilihan ketiga diambil misalnya, apakah Gerakan akan dapat terus diberi sokongan dan ini merupakan persoalan yang sukar dijawab,'' jelasnya.
Katanya, sebab itu di pihak pimpinan Gerakan, maklum balas terus dikumpul untuk memastikan Gerakan mempunyai analisis mendalam terhadap perkara tersebut.
''Kita tidak menetapkan sebarang tempoh masa tertentu berhubung soal menentukan kedudukan Gerakan dalam BN.
''Kita tidak mahu keputusan tergesa-gesa sebaliknya penuh ketelitian terhadap perkembangan politik semasa termasuk dalam komponen dan juga kerajaan,'' ujarnya.

Komen Daddy-wafiah:
Apa nak jadi dengan komponen BN, ada masalah sikit..keluar BN..cubalah bawa berbincang dalam mesyuarat tertinggi BN...kalau Gerakan didapati bersekongkol dengan pembangkang masa PIRU lepas,bagus keluar dengan rela hati lah...macam SAPP umum keluar baru2 ini..tapi presidennya tidak berhati perut...tidak peduli kebajikan ahli SAPP di kalangan melayu...hilang pekerjaan diorang di bulan puasa ni..semua jawatan ketua kg dan sebagainya terlucut automatik...sian222

Wednesday, September 24, 2008

Majlis Peguam Kecewa Dengan Keputusan Kerajaan Guna ISA Terhadap Raja Petra

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Majlis Peguam kecewa dengan keputusan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan pengendali laman web Malaysia-Today, Raja Petra Raja Kamaruddin selama dua tahun."Perintah tahanan itu sehari sebelum permohonan habeas corpus beliau didengar menyusahkan kerana ia menjejaskan permohonan itu," kata Presidennya Datuk Ambiga Sreenevasan dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, Selasa.Beliau berkata jika kesalahan dilakukan, Raja Petra boleh didakwa di mahkamah tetapi ISA digunakan terhadapnya ketika cara lain yang membolehkannya membela diri masih ada."Ia mengesahkan anggapan bahawa ISA digunakan untuk tujuan selain daripada keselamatan nasional. Ia digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat," katanya.Pelbagai pihak termasuk Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra kerana menulis artikel yang dipercayai menghina Islam dan umat Islam.-- BERNAMA

Komen Daddy-wafiah:
Memang padan la balasan yang diterima oleh si Raja Petra tu. Nampak sangat Majlis Peguam Negara pro pembangkang.Kalau si petra tidak buat salah, buat apa dia ditahan ISA. Terang2 dia menghina sultan,kerajaan,agama Islam & fitnah sesuka hati melalui blognya.Kerajaan tidak akan berdiam diri,sumbat terus dalam ISA, rasalah ko Raja Petra.

Saturday, September 20, 2008

Dijangka tubuh parti baru

KOTA KINABALU 19 Sept. – Bekas Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan beberapa pemimpin kanan parti itu termasuk bekas Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Yun Fah dijangka menubuhkan sebuah parti politik baru tidak lama lagi.

Bagaimanapun penubuhan par- ti baru yang pro Barisan Nasional (BN) itu masih dalam peringkat perbincangan.

Satu pertemuan sulit membabitkan beberapa pemimpin terbabit dikatakan berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka, di sini, lewat malam tadi bagi membincangkan perkara tersebut.

Utusan Malaysia difahamkan, kata putus mengenai penubuhan parti baru itu, khususnya yang berkaitan dengan barisan kepimpinan dan nama parti yang sesuai masih belum ditetapkan.

Menurut sumber, jika rancangan menubuhkan parti baru itu tidak menjadi kenyataan, satu lagi pilihan mereka ialah mengambil alih Parti Demokratik Setia Sehati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah (Setia).

Kata sumber itu lagi, jika usaha mengambil alih Setia menjadi kenyataan, parti tersebut akan dibawa masuk ke dalam BN.

“Mereka belum putuskan apa- apa lagi dan ingin membawa kedua-dua rancangan itu ke peringkat akar umbi bagi mendapatkan maklum balas dan pendapat mengenainya,” katanya.

Kelmarin, SAPP mengumumkan keluar BN tetapi beberapa pemimpin kanan yang tidak bersetuju dengan keputusan itu mengambil keputusan keluar parti.

Berikutan itu, spekulasi mengenai usaha bekas pemimpin kanan SAPP iaitu Raymond, Ketua Pemuda, Au Kam Wah dan Naib Presiden, Jimmy Wong, akan menubuh parti baru atau menyertai komponen BN lain mula diperkatakan.

Sementara Yun Fah yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, sebelum ini dikatakan akan menyertai Parti Kuasa Rakyat (PPP) setelah keluar daripada LDP, selepas pilihan raya umum lalu. Utusan Malaysia

Keluar BN kerana tidak puas hati?

KOTA KINABALU 19 Sept. – Apakah sebenarnya yang menyebabkan pengumuman Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, pada 17 September lepas yang memutuskan parti itu keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN)?

Meskipun hakikat sebenarnya kekal misteri, Timbalan Presiden, Datuk Raymond Tan Shu Kiah – yang tidak bersetuju dengan keputusan meninggalkan BN – telah mendedahkan bahawa Teck Lee sebenarnya tidak berpuas hati dengan ketiadaan tambahan kerusi diberi kepada SAPP pada pilihan raya umum lepas.

Walaupun, Majlis Tertinggi SAPP telah menyatakan bahawa kehilangan semangat dalam BN dalam kalangan parti gabungan itu sebagai alasan utama parti itu keluar BN, ia sebenarnya samar-samar apabila parti itu cuba mengatur strategi politiknya.

Mereka menyatakan alasan tindakan mereka bahawa Sabah telah diperdayakan selama ini dan membangkitkan deklarasi lapan perkara bagi mencapai apa yang mereka mahukan.

Perkara berkenaan termasuklah tadbir urus yang baik dan politik bukan perkauman, autonomi bagi Sabah, 20 peratus royalti minyak, memulangkan semula Labuan, mengkaji semula undang-undang tidak adil dan jabatan yang menjejaskan, mengadakan perkhidmatan awam Persekutuan mengikut rentak Borneo, menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin dan menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi dan sosial.

Namun, pendedahan Shu Kiah itu adalah suatu pembongkaran “rahsia politik” di sebalik tindakan parti itu keluar daripada gabungan parti BN. Ia semakin mengelirukan apabila Teck Lee dilaporkan mengisytiharkan hasratnya untuk bertanding atas tiket BN bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu sebelum pengumuman senarai calon Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas.

Shu Kiah dipetik sebagai berkata, pada Rabu lepas bahawa “permainan politik Teck Lee adalah untuk mendapatkan kerusi tambahan bagi SAPP” tetapi ia ti- dak menjadi kenyataan.

“Saya percaya ini mungkin menjadi sebab utama yang membawa kepada perasaan tidak puas hati dan kekecewaan terhadap kepimpinan BN. Saya rasa perkara lain hanya menjadi faktor penyumbang yang menyebabkan tindakan terburu-buru SAPP untuk keluar daripada gabungan BN,” kata seorang penganalisis politik veteran, Iskandar Martin Gayo kepada Bernama di sini.

Iskandar berkata, sebagai parti komponen BN, SAPP sepatutnya menyelesaikan isu pengagihan kerusi dengan anggota BN secara musyawarah setiakawan. BERNAMA

Rakyat tanggung beban perbuatan Anwar

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Ketaksuban Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri membawa kesan negatif kepada ekonomi negara dan boleh mengakibatkan rakyat menderita.

Bendahari UMNO, Datuk Abdul Azim Mohamed Zabidi (gambar) berkata, kesannya sudah dirasai apabila pasaran saham Bursa Malaysia jatuh melebihi jangkaan setelah tidak lagi mampu menarik pelaburan portfolio asing (FPI).

Katanya, impak negatif itu akan menjadi lebih ketara dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi apabila FPI semakin berkurangan dan tiada pelaburan baru.

Syarikat multinasional pula, jelas beliau, bersikap berhati-hati dalam memutuskan untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini atau di Vietnam dan Indonesia.

Beliau yang juga Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) berkata, paling menyedihkan ialah penarafan negara ini direndahkan menjadi setara dengan keadaan di negara jiran, Thailand.

‘‘Penarafan negara kita telah diturunkan kerana syarikat penarafan antarabangsa melihat keadaan politik negara kita tidak stabil.

‘‘Apabila penarafan ini diturunkan, jika negara mahu membuat pinjaman luar maka kadar faedah yang akan dikenakan adalah lebih tinggi,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Azim berkata, apabila negara dikenakan kadar faedah lebih tinggi maka kos tambahan perlu dibayar oleh rakyat.

Beliau memberi contoh, jika negara meminjam untuk membina lebuh raya dan dikenakan faedah tinggi, maka bayaran tol yang ditanggung oleh pengguna lebuh raya itu adalah lebih mahal.

‘‘Begitu juga dengan penurunan pasaran saham. Syarikat tidak akan mempunyai wang lebih untuk diberikan kepada pekerja sebagai bonus.

‘‘Jika pekerja tidak menerima bonus, kuranglah perbelanjaan mereka. Apabila perbelanjaan kurang, perniagaan tidak berkembang. Ini menimbulkan reaksi berangkai yang negatif,’’ ujarnya.

Katanya, namun, isu tol naik dan ekonomi lembap itu akan menjadi alasan kepada Anwar untuk menyalahkan kerajaan sedangkan punca sebenar ialah diri beliau sendiri.

Abdul Azim tidak menafikan ada faktor lain yang menyebabkan pasaran saham negara jatuh tetapi katanya, ia diburukkan oleh tindakan Anwar.

Katanya, apabila tindakan Anwar dilaporkan pula oleh media asing, ia menggambarkan seolah-olah suasana negara ini sudah kucar-kacir. Utusan Malaysia

Friday, September 5, 2008

Dr. Mahathir persoal kenapa Melayu sahaja perlu minta maaf

PUTRAJAYA 4 Sept. - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan mengapa orang Melayu sering dituntut memohon maaf sekiranya mengeluarkan perkataan dan catitan yang boleh ditafsirkan sebagai perkauman.
Bekas Perdana Menteri berkata, sebaliknya apabila orang bukan Melayu mengeluarkan perkataan atau catitan yang boleh ditafsir sebagai perkauman, orang Melayu tidak pernah menuntut pihak tersebut memohon maaf.
Beliau memberi contoh memorandum Hindraf kepada Perdana Menteri United Kingdom yang bukan sahaja penuh dengan unsur-unsur perkauman tetapi juga bersifat hasutan.
''Seorang penuntut universiti Wee Meng Chee telah perlekehkan Negaraku dengan mengguna lagu Negaraku tetapi dengan lirik yang mempermainkan sembahyang dan azan orang Melayu (Islam). Azan dijadikan duet lagu cinta.
''Apakah mereka dikehendaki memohon maaf? Apakah pemimpin mereka dikehendaki memohon maaf? Jauh sekali.
''Sebenarnya Wee dipertahan oleh pemimpin-pemimpin parti Cina dan anggota Hindraf dibebaskan daripada tahanan dan ada yang dengan bebasnya bertanding dalam pilihan raya dan menang menjadi wakil rakyat," katanya dalam laman blognya, www.chedet.com.
Dr. Mahathir berkata, orang Melayu hari ini sebenarnya takut jika mereka dilabelkan perkauman.
Katanya, tahap ketakutan orang Melayu hari ini sehingga apabila hak mereka diburuk-burukkan dan diserang, mereka tidak berani mempertahankan diri.
''Sesungguhnya keadaan hubungan antara kaum bukan lebih baik hasil Pilihan Raya Umum 2008, tetapi ia menjadi amat buruk.
''Mungkin saya dituduh sebagai menyumbang kepada keadaan melalui tulisan saya, tetapi pada saya amatlah tidak adil jika satu pihak dapat kebebasan sedangkan pihak yang ditohmah tidak boleh buka mulut," katanya. Sumber dari Utusan Online


Komen Daddy Wafiah :
Ada betulnya apa yang dikatakan oleh TDM tu. Seolah2 taring melayu tu sedikit demi sedikit hilang di bumi sendiri.Kaum lain sudah kurang gentar berbanding di era TDM berbanding era Pak Lah,semuanya segan nak mempersoalkan perlembagaan persekutuan tentang agama Islam,orang melayu,bumiputra dan hak keistimewaannya.Pendekatan era Pak Lah adalah terbuka sehinggakan ada pihak yang badigol ni mengambil kesempatan di kala kesempitan.Kita tidak boleh salahkan Pak Lah,masalahnya sifat ego,dengki dan dendam sememangnya ada pada diri manusia,iman dan taqwa saja yang dapat menawarkan sifat2 keji tersebut.
Sempena di bulan yang mulia ini,banyakkanlah beramal agar hati kita bersih dari dinodai virus hati.

Thursday, September 4, 2008

Umno Cawangan Minta Mahathir Dan Siti Hasmah Sertai Semula Umno

LANGKAWI, 31 Ogos (Bernama) -- UMNO Cawangan Kampung Raja dan Atas di Padang Matsirat di sini meluluskan usul meminta mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai semula UMNO untuk menguatkan parti itu sebagai tulang belakang kerajaan dan Barisan Nasional (BN).Selain Dr Mahathir, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut diusul menyertai semula UMNO.
Usul itu diluluskan pada persidangan UMNO cawangan itu di Padang Matsirat di sini semalam, kata Ketuanya, Datuk Paduka Abu Bakar Taib pada persidangan akhbar di sini Ahad.Abu Bakar berkata, usul itu dibawa oleh anggota cawangan itu, Datin Paduka Zaleha Md Gelam yang turut mencadangkan spaya Majlis Tertinggi UMNO melantik Dr Mahathir sebagai penasihat UMNO dan Barisan Nasional (BN).Beliau yang juga Anggota Parlimen Langkawi berkata, penyertaan semula Mahathir penting untuk mewujudkan kekuatan dan perpaduan dalam UMNO.Abu Bakar berkata, selain itu, mesyuarat turut mencadangkan supaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Dr Mahathir sebagai duta untuk menarik pelaburan luar negara ke Malaysia.Dengan pengalaman luas Dr Mahathir dan sebagai negarawan ulung yang dihormati di seluruh dunia, Abu Bakar berkata Dr Mahathir mampu menarik pelabur ke negara ini.UMNO Cawangan Kampung Kuala Melaka yang mengadakan persidangan yang sama semalam turut menyokong usul yang dibawa oleh Kampung Raja dan Atas."Kita mahu mengembalikan kekuatan UMNO dan pemimpin semua peringkat termasuk akar umbi perlu kembali bersatu untuk menguatkan parti", kata ketuanya Fazil Din.Abu Bakar berkata, semua usul itu akan dibawa ke mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Langkawi yang dijadual bersidang pada Okt ini dan akan dibawa ke peringkat negeri dan ke Perhimpunan Agung UMNO nanti.-- BERNAMA

Komen Daddy Wafiah:
Itu cuma cadangan dan usul yang dibuat oleh UMNO Cawangan Kampung Raja dan Atas di Padang Matsirat. Belum tentu lagi dipersetujui oleh Ketua2 Cawangan UMNO yang lain. Apa lagi Majlis Tertinggi UMNO. Yang dah keluar UMNO tak perlu dipujuk untuk kembali, minta pandangan dan pendapat dari TDM pun sudah memadai.Beliau keluar UMNO dengan kerelaannya sendiri. Sekarang ni masa untuk bekerja untuk rakyat dan memperkukuhkan parti dan hubungan dengan Komponen BN yang lain.

Minyak akan turun lagi Sejajar trend penurunan harga global

PUTRAJAYA 3 Sept. – Kerajaan berkemungkinan akan menurunkan lagi harga minyak petrol dan diesel sebelum perayaan Aidilfitri ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad.
Menurutnya, beliau mengharapkan berita gembira itu sepertimana yang diharapkan oleh rakyat sejajar dengan trend penurunan harga minyak global pada masa ini.

Shahrir berkata demikian ketika mengulas mengenai trend harga minyak dunia pada masa ini yang menurun kepada AS$109 setong hari ini berbanding AS$115 setong pada dua minggu lalu.
Ditanya sama ada kerajaan telah menetapkan tarikh untuk mengumumkan harga minyak baru, beliau berkata, daripada segi amalannya, kerajaan telah bersetuju untuk mengambil harga bagi tempoh sebulan.
Bagaimanapun, katanya lagi, pada bulan lalu, kerajaan mengumumkan untuk menurunkan harga minyak lebih awal selepas mengambil kira kenaikan indeks harga pengguna dan sambutan Hari Kemerdekaan pada bulan berkenaan. Sumber dari Utusan Online


Komen Daddy Wafiah ;
Menurunkan lagi harga minyak petrol dan diesel sebelum raya adalah langkah bijak yang diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat. Ini kerana banyak kos perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat yang berpendapatan sederhana dan yang tinggal di pendalaman. Penurunan harga minyak berdasarkan trend harga minyak dunia sepatutnya diaplikasikan sejak dulu lagi, supaya rakyat tidak terlalu berharap dengan subsidi petrol. Subsidi yang ada diagihkan kepada sektor yang lain seperti pertanian,pendidikan dan pengangkutan dan sebagainya. Itu lebih bermanfaat kepada rakyat dan ekonomi negara.
Adios

Wednesday, September 3, 2008

Malaysia hanya perlu satu hari kemerdekaan

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia hanya perlu ada satu hari kemerdekaan demi perpaduan dan integrasi nasional.Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, pendirian kerajaan ialah 31 Ogos merupakan Hari Kemerdekaan yang tarikhnya telah dipilih sebelum ini.''Semua lapisan rakyat telah menerima bahawa 31 Ogos adalah Hari Kemerdekaan dan untuk mengiktiraf hari lain sebagai Hari Kemerdekaan akan memberi pelbagai andaian, pertelagahan dan tidak sihat daripada segi perpaduan nasional,'' katanya.
Najib diminta mengulas cadangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pimpinan pembangkang di lima buah negeri mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum.Anwar berkata, cuti umum itu wajar kerana 16 September adalah tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia dan ia merupakan hari bersejarah sama seperti 31 Ogos. Sumber dari Utusan Online

Komen Daddy Wafiah;Bagi pendapat akulah, mau jadi seorang yang patriotik dan cintakan negara tidak perlu jadikan 16 september sebagai hari cuti umum.cukuplah tarikh yang dipilih oleh pemimpin yang terdahulu dengan pakatan 3 kaum..Yang penting ialah sejauh mana kita menghargai dan menghayati kemerdekaan yang kita kecapi ini melalui darah pengorbanan pejuang2 terdahulu melawan penjajah dan semangat Tunku, pemimpin cina,india dan peminpin dari Sabah dan Sarawak dulu mendapatkan kemerdekaan dan membentuk Malaysia.
Selamat berpuasa semua

Tuesday, September 2, 2008

Awal Bulan Ramadhan

"Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya."

Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:

"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia dibolehkan berpuasa." - HR Tujuh Ahli Hadith

Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak
ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Selasa, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa sunatnya sebagaimana lazimnya.

Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan tetapi Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama sekali amalannya.

Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya.

Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk mengerjakan puasa.

"Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya." - HR Ahmad & Ashabus Sunan

Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut.



Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu:

Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya; Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.

Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak kecil berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan kepada mereka. Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan Seseorang yang akan mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai jika menyatakan niat puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya dinyatakan setiap malam, maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

Selamat Berpuasa dan wassalam.